Jutawan Gedik | Siri 2

SUASANA betul-betul sunyi sepi. Tegang sekali. Mulut-mulut semua yang ada di dalam bilik tayangan jelas terkunci. Fokus mata-mata yang terkelip-kelip itu hanya pada dua individu yang kekal berdiri. Fasharina Tan Sri Hisham yang anggun bercekak pinggang. Cikgu Syed Putra Syed Hatta, guru baru yang kacak penampilan tetapi sudah berkerut dahinya membentuk seribu garisan.
Waktu sehening itu… jika ada pen terjatuh, pasti berdecing berbunyi. Jika ada yang mahu masuk campur dalam perbalahan, pasti membinasakan diri. Lalu semua terdiam dan menjadi penonton paling setia. Memberi tumpuan tidak berbelah bahagi. Bagaikan menonton rancangan realiti TV. Bahagian paling disukai tentulah bahagian kontroversi!
Pertembungan Cikgu Putra dan Fasha bagaikan perbalahan Ultraman Taro dengan raksasa Gorgon. Kelihatan melewati paras bahaya. Loceng malapetaka sudah berbunyi ‘neno-neno’ dan berleluasa ke seluruh alam semesta. Jika disukat dengan termometer, sudah melepasi suhu kepanasan 100 darjah celcius.

“Cikgu! Suruh saja mereka keluar dari sini! Perasan sangat! Kononnya kaya mengalahkan Bill Gates. Padahal, itu bukan harta mereka. Itu harta ibu bapa mereka!” Satu suara sudah mencelah. Jelas berpihak kepada Cikgu Putra sekali gus mengata Fasha.

Mendengar sindiran yang datang entah dari mana, Fasha menajamkan jelingan pada kuasa paling tinggi. Cekak pinggangnya dikukuhkan penuh angkuh. Dia kemudian memandang sekilas ke arah jam bertatah berlian jenama DKNY yang melilit pergelangan tangannya. “Oh, please! Kami pun tidak mahu berlama-lama di sini! Buang masa saja datang perjumpaan begini! Kelab usahawan cakaplah kelab usahawan. Jangan sedap-sedap mahu tukar nama sebagai kelab jutawan! Sungguh mengelirukan. Tak fasal-fasal mencalar reputasi kami sebagai anak jutawan yang sebenar!”

Huh! Lasernya mulut Fasha! Jelas gadis itu mempamerkan sikap diva tanpa segan silu. Tanpa rasa malu. Paling bahaya, kata-katanya mampu mengguris hati Cikgu Putra, guru pendidik yang sepatutnya dihormati dan dimuliakan pada tahap tertinggi. Itulah perangai buruk Fasha dan kumpulan The Wannababes yang memang sudah terkenal seluruh Sekolah Sri Bangsar.

“Anak jutawan, konon! Alah… bolehlah berlagak dan bercakap besar dengan harta ibu bapa. Cuba dilahirkan dalam keluarga biasa-biasa. Mana mungkin mampu usung beg LV dan pakai barangan berjenama!” Serangan hendap berbentuk kata-kata itu datang lagi. Dari arah tempat duduk penonton. Namun tidak dapat dikenal pasti orangnya.

Provokasi bertalu-talu itu membuatkan Fasha laju memaling muka. Bagaikan pemburu yang mencari mangsa, dia merenung ganas penonton di belakangnya. Mencari suara sumbang yang berani mempertikaikan kekayaannya. “Hei! Cakap jangan sembarangan ya! Harta ibu bapa kami… tentulah harta kami juga! Kami pewarisnya. Sebagai anak, tentu berhak membelanjakan segala harta yang ada. Kami beli LV, DKNY dan GUESS… bukan guna duit kamu semua! Jadi mengapa mahu pertikaikannya?” Fasha kini tidak lagi bercekak pinggang, dia sudah membuntang mata kemarahan. Terkesan dengan sindiran itu, Fazura dan Nana turut bangkit. Berpadu tenaga ala Power Rangers.

“Cemburu cakaplah cemburu!” Nana menjelir lidah tanda mengejek ke arah pelajar lain. Memang sungguh kebudak-budakan. Memang sungguh menjengkelkan. Namun itulah sikap The Wannababes yang tidak bijak berhujah, hanya pandai berlagak.

“Betul! Mengaku saja. Kamu semua cemburu dengan takdir kami yang dilahirkan dalam keluarga kaya raya. Percayalah, ini bukan permintaan kami. Ini memang takdir-Nya. Saya sendiri keturunan kerabat diraja. Tapi itu bukan permintaan saya,” Fazura menyokong Fasha dan Nana. Namun kata-katanya lebih berunsur masuk bakul angkat sendiri. Begitu dramatik sambil menekap tangan ke dada gaya pelakon terhebat. Sebenarnya kata-kata Fazura ada agenda tersendiri. Agenda mahu mengingatkan semua bahawa dia ada darah keturunan raja. Padahal, satu sekolah tahu… Fazura hanya ada bau-bau bacang keluarga diraja. Bukannya daripada susur galur yang utama.

Kelihatan pada masa yang sama, Cikgu Putra menarik nafas dalam-dalam. Mungkin mahu menenangkan hati yang mendidih kepanasan. Mungkin mahu mencari jalan penyelesaian kepada pertengkaran yang tiba-tiba meletus penuh kejutan. Mungkin juga mahu menahan diri daripada mencabai mulut pelajar perempuan di hadapan mata yang begitu lepas dalam berkata-kata. “Bertenang semua.” Akhirnya Cikgu Putra bersuara. Bergerak ke arah ruang bahagian tengah bilik tayangan, dia turut membuat isyarat tangan. Tepat ke arah Fasha, Fazura dan Nana sambil berkata. “Kamu bertiga, tolong duduk dulu.”

Dalam kelat-kelat wajah kerana tidak puas bertikam lidah, tiga The Wannababes akur. Duduk diam seperti pelajar lainnya.

“Saya ingin kongsikan satu cerita. Cerita mengenai seorang anak billionaire. Ketika peristiwa ini berlaku, anak muda itu berusia dalam lingkungan 18 tahun. Ya, orangnya hampir-hampir sama baya dengan kamu semua.” Penceritaan Cikgu Putra jelas menjadi satu-satunya suara yang memonopoli ruang bilik tayangan. Membuatkan semua pelajar tersenyap mendengar cerita yang dikongsikan.

“Anak muda itu punya pemikiran yang sama seperti kamu bertiga.” Cikgu Putra menuding tepat ke arah kumpulan The Wannababes sebelum menyambung kata. “Dia tidak pernah rasa mahu berusaha, belajar bersungguh-sungguh dan mempersiapkan diri menghadapi masa hadapan. Padanya, harta ibu bapa terlalu banyak. Tidak terhitung. Tidak terkesan walaupun dibelanja hingga ke akhir zaman.”

Cikgu Putra berhenti bercerita. Pandangannya melirik sekilas ke arah The Wannababes yang tentu sekali terasa pedasnya cili kerana cerita itu tertuju kepada mereka.

“Namun, takdir Tuhan itu tiada siapa dapat menjangka. Ibu bapanya yang bertaraf billionaire meninggal dunia dalam kemalangan nahas helikopter persendirian. Dengan sekelip mata, semua harta diletakkan di bawah pengurusan pakcik makcik dan saudara mara terdekat. Usianya yang belum menjangkau 21 tahun membuatkan dia tidak punya hak mewarisi empayar perniagaan. Apabila menjangkau usia 21 tahun pula, harta-harta itu sudah dimanipulasi, dipindahkan menggunakan taktik paling jahat dan akhirnya anak muda itu hanya ditinggalkan dengan sebuah rumah untuknya berteduh. Tiada wang simpanan, tiada tanah berhektar dan tiada lagi kemewahan yang dibangga-banggakan.”

“Eh? Mengapa tidak berjuang dapatkan hartanya semula? Mengapa biarkan saja saudara mara yang bolot segalanya?” Suara Diana, salah seorang ahli The Wannababes sudah melontarkan soalan. Terdengar begitu ikhlas ingin tahu kisah selanjutnya.

“Itulah yang berlaku apabila seseorang manusia itu tidak mahu mengambil tahu, tiada inisiatif melengkapkan diri dengan ilmu dan tidak pernah ada usaha mahu belajar selok-belok perniagaan daripada arwah bapanya.” Cikgu Putra mengetap bibir sendiri sebelum tersenyum tiada seri. Dia tersenyap tiga saat. Akhirnya bersuara kembali.

“Arwah ayah saya, Datuk Seri Paduka Syed Hatta Syed Jamalullail sudah hampir sepuluh tahun meninggal dunia. Empayar perniagaan yang dibina juga lenyap begitu saja kerana punya saudara mara yang rakus dan tamak. Syarikat Hatta Holdings yang disebut-sebut sebagai perniagaan kontraktor Bumiputera terhebat tahun 90-an bagaikan lenyap ditelan bumi. Sayalah anak lelaki tunggalnya yang tidak berguna. Tidak berjaya pertahankan harta arwah ayah yang susah payah dibina.” Cikgu Putra tenggelam dalam emosi. Dia menunduk memandang lantai dengan wajah yang keruh sekali. Pada masa yang sama, pelajar sudah tercuit-cuit. Berbisik sesama mereka.

“Saya memang ingat lagi Hatta Holdings, syarikat gergasi Bumiputera yang terkemuka!”

“Insiden kemalangan helikopter juga dikatakan satu konspirasi.”

“Ini rupanya pewaris Hatta Holdings!”

“Wah! Tidak sangka, Cikgu Putra bukan setakat bertaraf jutawan, tetapi billionaire!”

The Wannababes sendiri pucat muka. Tidak berdarah dibuatnya wajah mereka. Malu kerana rupanya individu yang berada di hadapan itu lebih hebat lagi kekayaannya suatu ketika dulu. Segan kerana teladan cerita yang dikongsikan tadi sememangnya tepat mengena ke batang hidung mancung The Wannababes! Kumpulan popular yang tidak pernah peduli mengenai ilmu. Kumpulan yang asyik berbangga dengan harta benda ibu bapa yang belum tentu berkekalan hingga anak cucu.

“Itu sebabnya saya berazam mahu suntik kesedaran kepada semua mengenai betapa pentingnya ilmu keusahawan. Betapa pelajar perlu mula mempersiapkan diri belajar ilmu pengetahuan bagi menghadapi dunia sebenar yang pelbagai cabaran. Jangan jadi macam saya. Clueless and ignorant.” Cikgu Putra menghela nafas dua saat lamanya sebelum memandang penuh semangat anak-anak didik di hadapan mata.

“Inilah sebab utama saya mahu aktifkan Kelab Usahawan Sri Bangsar apabila diarahkan berkhidmat di sini. Saya ambil pendekatan tukar nama usahawan jadi jutawan kerana saya yakin itu mampu menarik minat pelajar. Nampaknya strategi saya menjadi. Anak-anak jutawan yang tidak minat berniaga pun boleh tersilap mendaftar kelab ini!” Di hujung kata, Cikgu Putra melepaskan ketawa. Memandang The Wannababes yang tidak lagi berani mengangkat muka. Semua bertepuk tangan mendengar pengakhiran cerita guru muda itu. Inisiatif yang diambilnya memberi inspirasi. Gaya berkarisma tetapi rupanya tersimpan kisah sedih yang dipendamnya selama ini.

“Cikgu, kami betul-betul mahu tahu ilmu keusahawan untuk jadi jutawan. Tolonglah ajar kami dan turunkan ilmu!” Salah seorang pelajar lelaki bernama Irfan Khairiri berdiri dengan penuh semangat. Bagaikan mahu menuntut ilmu dengan seorang guru silat, badannya ditundukkan. Wajahnya mengharap penuh hormat.

“Saya pun mahu terus berada di dalam kelab ini!” Pelajar perempuan berbadan tembam comel yang dikenali dengan nama Maznah Hamidi turut menyampuk. Memberitahu dengan penuh semangat waja sambil menggenggam penumbuknya.

Akhir sekali, seorang pelajar lelaki berbangsa Cina yang bernama Wobert Wiok juga mengangkat tangan dan berdiri sama. “Cikgu, kami mahu jadi jutawan muda. Dengan usaha sendiri, bukan dengan duit ibu bapa. Tolong tunjuk ajar kami, sifu!”

Senyuman Cikgu Putra melebar. Dia mengangguk-angguk. “Inilah semangat yang saya mahu. Semangat berdikari. Semangat mahu mencapai kejayaan dengan usaha sendiri. Bagus… bagus! Kepada mereka yang sudah terlampau kaya dan mahu tinggalkan kelab ini… saya persilakan dengan sepenuh hati. Saya tidak menghalang. Tetapi ingat, hanya dengan ilmu pengetahuan saja kita dapat menjaga dan meluaskan lagi empayar kekayaan kita. Jika kita terus sombong dan bongkak, jangan terkejut apabila satu hari nanti boleh jatuh terkangkang kerana muflis atau ditipu orang!”

“Betul, cikgu! Pada saya, tujuh gadis gedik itu patut keluar saja daripada kelab kita. Mereka bukannya pandai berniaga. Hanya pandai habiskan harta benda. Nanti habis pula duit tabung kelab kita apabila perlu tanggung kerugian mereka akibat jadi usahawan yang tidak berjaya. Mereka bertujuh itu… hanya boleh jadi jutawan yang tergedik-gedik tanpa usaha sendiri!” Dengan selamba Wobert Wiok menghentam The Wannababes. Jelas sekali, dia tidak mahu kumpulan itu terus berada dalam kelab usahawan kerana merasakan The Wannababes hanya akan menyusahkan dan menjadi liabiliti kepada semua!

Mendengar kata-kata Wobert Wiok yang begitu mencabar, laju Fasha bangun dengan penuh amarah. “Hei, tolong jangan cakap sesuka hati! Kami lebih pandai berniaga. Kami lebih layak digelar usahawan sejati! Bakat dan darah jutawan ibu bapa kami mengalir pekat dalam salur-salur nadi ini! Kalau diberi cabaran berniaga, kami yakin… kami akan lebih dulu berjaya kumpul RM1 juta berbanding kamu semua!”

Enam The Wannababes turut bangun, mengangguk kepala dan bercekak pinggang dengan penuh sehati sejiwa. Nana memetik jari sambil berkata, “Bring it on! Kita tengok siapa yang boleh jadi jutawan dulu!”

“Ya! Kami boleh buktikan, kami berbakat jadi usahawan berbanding semua pelajar lain. Setakat muka-muka di hadapan mata ini, huh… celah gigi saja!” Fazura mengerling dengan sekilas lalu. Tanda tidak tercabar langsung dengan kata-kata Wobert Wiok, pelajar Cina paling pandai dalam subjek matematik di Sekolah Sri Bangsar.

“See our legs, see our parents. Ke mana tumpahnya kuah, jika tidak ke nasi? Ke mana perginya bakat berniaga ibu bapa jutawan kami jika tidak kepada The Wannababes?” Shasha, ahli The Wannababes paling serius perwatakan pun sudah menyampuk bicara. Namun dia lebih bijak berbanding yang lainnya. Dia berhujah gaya berpantun, siap ada pantun Inggeris dan bahasa Melayu yang bergabung! Memang class sekali!

Seketika suasana jadi riuh rendah. Suara bertikam lidah dan berlawan-lawan kata mula mendominasi. Namun segalanya terhenti apabila Cikgu Putra bersuara tegas pada oktaf tertinggi.

“Girls and boys of Sri Bangsar! Behave yourself! Senyap dan duduk tempat masing-masing!” Amaran keras Cikgu Putra mengunci mulut semua. Sebaik suasana kembali terkawal, guru penasihat Kelab Jutawan Sri Bangsar bergerak semula ke tengah bilik tayangan. Matanya merenung tajam pelajar.

“Oleh kerana kamu semua sibuk cabar-mencabar mengenai siapa lebih pandai buat duit, siapa boleh jadi usahawan dan siapa paling cepat jadi jutawan… saya mahu buat aktiviti pertama kelab kita yang berkisarkan cabaran ini. Saya mahu bahagikan kamu kepada lima kumpulan. Setiap kumpulan mesti mencapai misi mencari keuntungan RM1 juta. Dengan cara berniaga dan mengaplikasikan ilmu keusahawanan yang ada. Kumpulan yang diangkat sebagai pemenang adalah kumpulan yang paling cepat mencapai keuntungan RM1 juta berbanding yang lainnya. Kumpulan itu juga boleh membuat kata putus mengenai bagaimana membelanjakan duit RM1 juta yang diperoleh.”

Dengan kata-kata itu, Cikgu Putra sudah bergerak mendekati pintu. “Minggu hadapan kita jumpa lagi. Saya mahu dengar lima idea bagaimana mahu mencapai RM1 juta daripada kamu semua. Assalamualaikum.”

Sebaik cabaran baru itu diumumkan, semua mata pelajar bersinar teruja. Semua kekal duduk di kerusi, tidak balik-balik seperti sepatutnya. The Wannababes kepoh berbisik-bisik sesama mereka. “Kita akan capai RM1 juta dengan cara paling bergaya! Kita pakar kecantikan dan fesyen. Kita akan gunakan bakat kita! Kita pasti menang dengan mudah! No worries, girls!”

Wobert Wiok pula sudah mencuit rakan-rakan sekeliling penuh teruja. “Saya ada idea paling hebat! Idea jutawan paling bagus untuk kumpulan kita!”

Sekelip mata… seluruh ahli Kelab Jutawan Sri Bangsar hangat berbincang. Mereka mesti mencari jalan mencapai RM1 juta. Masing-masing tidak sabar mahu menunggu minggu berikutnya. Minggu membentangkan idea menjadi jutawan! Minggu menunjukkan siapa paling hebat antara mereka semua….

BERSAMBUNG.....

0 comments:

Post a Comment