Jutawan Gedik | Siri 6

The Wannababes sudah beraksi. Kini giliran kumpulan lain tampil memperkenalkan diri. Wobert Wiok bersama empat rakan, seiring sejalan ke hadapan. Membawa bersama sebuah kotak hitam. Dipeluk dan dijaga penuh perhatian.

“Selamat sejahtera semua. Saya Wobert Wiok. Lebih mesra dipanggil Wiwi. Saya mewakili kumpulan yang diberi nama 3K.” Dengan gaya seorang ketua, Wobert Wiok tampil ke hadapan. Mendepang tangan ke kiri dan kanan, sebagai tanda memperkenalkan ahli-ahli kumpulan.

“Apa maksud 3K?” Ada suara melaung dari belakang.
“Maksud 3K adalah ‘Kumpulan Kami Kaya’. Ia juga membawa misi kami yang suci murni iaitu ‘Kena Kerja Keras’.” Dengan petah sekali Wobert Wiok berkata-kata.

“Wah! Kreatif sekali nama kumpulan ini!” Cikgu Putra, guru kacak itu sudah tersenyum tanda suka pembentangan awal Wobert Wiok.

“Betul, cikgu! Pada saya, nama kumpulan mesti melambangkan perjuangan kita. Barulah seiring dengan kejayaan. Jika hanya glamor tanpa makna… memang tiada guna!”

“Alah… nama kumpulan tidak penting. Paling penting, idea mahu jadi jutawan. Cepatlah tunjuk apa yang ada dalam kotak hitam!” Sudah ada suara cemburu The Wannababes yang menghentam. Mungkin marah kerana Wobert Wiok menyindir nama kumpulan mereka. Nama kumpulan The Wannababes memang punya nilai komersial. Namun tiada kaitan dengan pertandingan mencapai RM 1 juta.
Cikgu Putra tetap jadi pemerhati. Dia tidak banyak bunyi. Dia faham, pertembungan lima kumpulan itu membangkitkan semangat persaingan yang tinggi.
Setiap kumpulan asyik mencari kesalahan. Masing-masing mahu menyenaraikan kelemahan. Itulah bahana apabila semua berebut mahu jadi juara. Padanya, biarlah persaingan positif itu terus berleluasa, asalkan terkawal keadaannya.

Wobert Wiok sempat menjeling tajam ala pedang ke arah The Wannababes pada kadar dua saat. Menarik nafas dalam-dalam, dia memulakan pembentangan.
“Kumpulan kami terdiri daripada ahli-ahli berwibawa. Jehan Kaya, Naza Riah, Vincent Tin dan Siti Nurhalizawati. Kami berlima adalah pakatan paling kuat di dalam Kelab Jutawan Sri Bangsar. Dengan adanya lima otak bergabung, kami yakin kami bakal jadi juara yang paling cepat mencapai RM 1 juta!”

“Eleh… semuanya otak udang! Bergabung ramai-ramai pun, cuma boleh dibuat belacan!” Sempat lagi Fazura berbisik dan mengata ke telinga Sazzy sebelum keduanya mengekek sendiri.

Wobert Wiok kelihatan begitu fokus kepada pembentangan. Tidak mengambil peduli langsung mata-mata yang memandang. Gayanya begitu yakin. Sambil mendongak, dia mula berbicara mewakili kawan-kawan yang lain. “Buat pengetahuan, kami berbincang selama tiga hari tiga malam bagi mendapatkan cara-cara terbaik jadi jutawan. Malah kami banyak buat kajian. Kami dapat informasi berharga bahawa kebanyakan jutawan di dunia ini mengecapi kekayaan melalui lima cara.”

Wobert Wiok memandang ke kiri dan kanan. Sebagai tanda meminta rakan-rakan mengangkat papan tanda putih yang dibawa sebagai alat bantu pembentangan. Lalu dengan serentak… ala-ala ahli perbarisan tentera, semua mengangkat papan tanda. Tertulis besar, lima cara jadi jutawan yang sudah terbukti formulanya di seluruh dunia.

BISNES

HARTANAH

ROYALTI

SAHAM


“Inilah lima cara mahu jadi jutawan. Formula yang digunapakai oleh orang kaya-kaya bagi menambahkan lagi kekayaan.” Wobert Wiok berkongsi ilmu yang diketahuinya. Cikgu Putra terangguk-angguk tanda mengiyakan informasi itu. Informasi yang berulangkali disebut dalam buku-buku motivasi perniagaan.

“Bagi kumpulan kami, kami memilih cara pertama iaitu cara menjalankan bisnes.” Wobert Wiok memberitahu. Dengan segera juga, bagaikan seorang ahli magis yang mahu menunjukkan arnab ajaibnya… Wobert Wiok menyelak kain hitam yang menutup kotak yang dibawa. Rupanya di bawah kain hitam itu adalah kandang binatang bersaiz mini! Ala-ala kandang membela arnab dan hamster. Namun di dalamnya terdapat dua ekor binatang menggerutu, berbintik-bintik dan berbau hamis.
Menyerupai cicak namun saiznya lebih besar dan menakutkan semua orang yang memandang!

“Apa itu? Apa itu? Gelinya!” Fazura sudah terherot muka. Sambil badannya tergedik-gedik menahan geli yang tidak terhingga.

“Urgh! Dua ekor cicak pelik itu tengok saya! Tengok seperti mahu menelan. Ish! Takutnya! Takutnya!” Fasha sudah bangun mendadak daripada duduknya. Jelas mahu menjauhi kandang yang dibawa Wiwi. Dia turut menggosok lengan berkali-kali.
Meremang bulu roma! Sungguh tidak disangka, ada binatang di dalam kotak hitam yang dipeluk dan dijaga sedari tadi!

“Wiwi… jika binatang itu terlepas dan terkena badan saya, awaklah yang bertanggungjawab! Saya akan saman juta-juta! Saya tidak akan maafkan!” Sazzy turut bangun dari duduknya. Menghunus jari telunjuk tepat ke arah cicak yang jadi musuh utama.

“Jangan berani-berani mahu keluarkan cicak itu dari kandang! Nanti melompat-lompat atas rambut kami semua!” Linda sendiri sudah pucat muka. Hampir menangis reaksinya!

Seketika, suasana jadi tidak terkawal. Pelajar perempuan yang duduk di barisan hadapan… semuanya bangun ketakutan. Tidak sanggup menanggung risiko sekiranya cicak-cicak yang dibawa oleh kumpulan 3K itu mengganas secara tiba-tiba!
Menggigit telinga, masuk ke dalam kain dan merayap ke tempat-tempat yang tidak sepatutnya! Argh! Memang mimpi ngeri buat semua gadis-gadis ayu yang menjaga penampilan!

Pelajar lelaki pula sibuk ketawa terkekeh-kekeh. Terhibur dengan gaya kaum perempuan penggeli yang sudah terlompat panik ke sana-sini!

Cikgu Putra secara automatik bertindak menjadi penenang. Mengarah ahli-ahli kelab supaya tidak bertindak keterlaluan. “Kelas! Jangan panik. Duduk tempat masing-masing. Cicak itu tidak mungkin menyerang kerana ianya tidak akan dilepaskan!”

Wobert Wiok di atas pentas turut mengangguk. Memberi jaminan. “Ya! Jangan takut. Saya tidak akan buka pintu sangkarnya. Saya hanya mahu tunjukkan kepada semua, rupa sebenar cicak tokek yang berharga RM250,000 seekor! Inilah bisnes kumpulan kami. Menjual empat cicak tokek sahaja, boleh dapat RM 1 juta!”

Sebaik mendengar kata-kata Wobert Wiok, semua ahli The Wannababes ternganga tidak percaya. Pelajar perempuan yang terlompat-lompat ngeri sudah terpaku bagaikan patung yang tidak bernyawa. Pelajar lelaki yang sibuk ketawa sudah tersenyap dan terzip mulut mereka. Biar betul apa yang didengar telinga? Cicak itu berharga RM250,000???

Cikgu Putra sendiri terkejut dan berkerut dahinya. Lantas laju bertanya, mahu memastikan kekeliruannya terjawab pada ketika dan saat itu juga. “Wobert Wiok, awak pasti ini adalah cicak tokek yang digembar-gemburkan? Ini cicak yang dikatakan boleh dijual dengan harga mencecah ratusan ribu ringgit?”

Melihat fokus semua pelajar menumpu perhatian kepadanya, Wobert Wiok terkembang-kembang hidung sambil menepuk lembut sangkar depan mata. “Betul, cikgu. Inilah cicak tokek atau lebih dikenali sebagai cicak Gekko Gecko. Tubuhnya berbintik-bintik merah. Cicak ini dipercayai mampu dijadikan ubat merawat penyakit kronik seperti HIV/AIDS, sakit kulit dan asthma. Itu sebabnya permintaan cicak ini sangat tinggi, lebih-lebih lagi dalam bidang perubatan tradisional.”

BERSAMBUNG.....

1 comments:

AdylahAdelaide said...

saya tak dapat baca apa yang awak pos
;)

Post a Comment