Jutawan Gedik | Siri 11

Senyuman tujuh gadis tersimpan-simpan. Ini kerana mereka ada cerekarama seterusnya yang mesti dilakonkan. Masing-masing mengangguk faham.

“Baldi sudah sedia?” Selaku ketua operasi, Fazura bertanya.

“Siap!” Nana angguk dalam bisikan.

“Minyak angin lumur banyak-banyak.” Shasha beri isyarat kepada Sazzy.
Gadis berambut meggi itu akur arahan yang diberi. Dengan ganas dia menuang minyak kayu putih ke telapak tangan sebelum ditepek-tepek ke dahi sendiri. Seketika Sazzy menyeringai kepanasan!

“Okey! Sekarang pamerkan muka tidak bermaya. Ala-ala separuh mati ya!” Dengan pesanan terakhir kepada semua ahli, Shasha sendiri menunjukkan ekspresi muka sakit tidak terperi. Bagaikan mengetahui Cikgu Putra dan Cikgu Fauzi sudah berada di muka pintu. Makin menghampiri.

“Macam mana keadaan kamu semua?” Cikgu Putra bertanya sebaik menjenguk kawasan pelajar perempuan.

“Muntah-muntah, cikgu.” Fazura selaku tukang jawab sempat menjuih bibir dengan terketar-ketar ke arah tiga baldi yang disediakan. Seperti dijangka, Cikgu Putra dan Cikgu Fauzi menjenguk sekilas ke arah baldi tersebut. Berkerut dahi melihat isinya. Coklat pekat. Urgh! Menggelikan!

“Hmm… kamu semua berehatlah. Nanti masuk hutan dan muntah-muntah, lebih susah!” Cikgu Fauzi yang biasa bertugas jadi guru pengiring program lawatan pelajar Sekolah Sri Bangsar sudah membuat keputusan.

“Tetapi… kami mahu lihat proses mencari cicak tokek.” Nana mengetap bibir. Mempamerkan wajah kecewa ala-ala putus cinta. Begitu menyakinkan setaraf pelakon profesional!

“Kamu semua sakit. Jika pengsan dalam hutan, lebih susah mahu uruskan. Lagipun, risau melambatkan lagi pergerakan ahli kelab yang lain.” Cikgu Putra turut memberi keputusan yang sama. Lalu dia memandang jam tangan sekilas sebelum menggamit Cikgu Fauzi, tanda perlu bergerak ke hutan sekarang.

“Kami pergi ekspedisi selama tiga jam. Sementara itu, cuba tidur dan berehat. Jika nanti sakit tidak baik juga, kami bawa ke klinik kesihatan.” Dengan kata-kata penuh prihatin itu, Cikgu Putra dan Cikgu Fauzi menghilang. Menunggu satu minit hingga tiada lagi bunyi kedengaran, The Wannababes kini bertepuk tampar sendiri! Mereka berjaya dalam misi mengelak masuk hutan! Wah! Strategi menjadi! Air bercampur tanah yang diletakkan dalam baldi itu menjadi props utama. Begitu juga minyak angin sebotol besar. Paling penting, ekspresi muka sakit mestilah meyakinkan! Cikgu Fauzi dan Cikgu Putra jelas termakan helah yang diaturkan!

Memang The Wannababes sanggup cari idea yang pelbagai. Demi mengelak terpijak lecak. Bagi memastikan tragedi alergi kulit kerana menyusur denai dan semak samun di hutan tidak menimpa kulit-kulit mulus mereka. The Wannababes juga geli disuruh menguis batu demi mencari cicak tokek yang diperkatakan!

Ya! Lakonan mantap yang boleh menang Anugerah Pelakon Wanita Terbaik, membuatkan kini mereka menuai hasilnya. Tujuh gadis selesa berbaring atas tilam angin yang empuk tebal. Lengkap berbantal. Kelihatan sungguh berbeza jika dibandingkan dengan hamparan toto pelajar lain yang nipis hingga terasa kerasnya lantai. Itulah persiapan rapi The Wannababes, gadis-gadis gedik kota metropolitan apabila disuruh masuk hutan!

Selain tilam angin yang dibawa, mereka turut dilengkapi alatan kipas yang memercikkan titis-titis air segar seperti kipas di restoran-restoran terkemuka. Tubuh dibaluti helaian duvet velvet lembut bak kapas. Paling tidak tahan, ada lilin aromaterapi lavendar yang dinyalakan! Betul-betul macam spa di tengah-tengah Felda Sungai Boyan!

Segalanya disediakan oleh Pak Mad, pemandu Fasharina bt Tan Sri Hisham. Ia bagi memastikan anak majikannya selesa. Siap segalanya, Pak Mad bertolak balik kerana perlu memenuhi urusan Tan Sri dan Toh Puan Sri. Pak Mad hanya akan menjemput The Wannababes kembali, pagi esok seperti dijanji. “Okey! Sekarang keluarkan semua bahan-bahan hiburan!” Fasha sudah menggosok dua telapak tangan dengan muka nakal.

“Ipad, Iphone dan PSP siap sedia digunakan! Majalah-majalah fesyen boleh diambil buat rujukan.” Diana membuka sebuah beg khas. Beg itu diisi segala macam peralatan elektronik. Kemudian dia menyusun pula segala jenis majalah di hujung kaki. Kini mereka bersenang-lenang berehat dengan maksima selama tiga jam.

Kadangkala berbual. Ada masa ralit dengan pembacaan majalah. Akhirnya semua The Wannababes tertidur penuh lena….

Tiga jam kemudian….

Ekspedisi kumpulan mencari cicak tokek sudah kembali! Dengan senyuman lebar penuh makna, walaupun kepenatan sungguh-sungguh menguasai urat, tulang-belulang dan tubuh badan setiap seorang daripada mereka! Cikgu Fauzi dan Cikgu Putra berkali-kali mengucapkan terima kasih kepada seorang wakil penduduk Felda Sungai Boyan. Sanggup membawa dan mengetuai ekspedisi ke hutan. Pak Baharuddin namanya, begitu arif menunjuk selok-belok denai yang mengelirukan. Hampir tiga jam kemudian, semua selamat pulang ke pangkal jalan. Kembali memasuki dewan raya, bagi merehatkan badan.

Cikgu Putra sempat berpaling dan meletakkan jari di bibir sebaik memasuki pintu dewan. “Sssh! Senyap semua. Kawan-kawan kamu, kumpulan The Wannababes sakit teruk. Mereka sedang berehat. Jadi jangan ganggu dan kejutkan mereka!”

Peringatan itu membuatkan ahli-ahli Kelab Jutawan Sri Bangsar mengangguk akur. Bibir ditutup rapat. Jalan dijengketkan. Tiada bunyi dihasilkan bagi memastikan suasana kekal senyap dan aman. Memasuki dewan raya, semua ikut jejak langkah Cikgu Putra dan Cikgu Fauzi. Mereka menjenguk keadaan The Wannababes terlebih dahulu.

Memasuki ruang, bilik harum dipenuhi aroma minyak lavendar mahal jenama L’OOCCITANE. Pelajar-pelajar Sri Bangsar yang kenal sangat dengan sikap diva The Wannababes sudah tergeleng-geleng. Sempat lagi bawa haruman aromaterapi dalam ekspedisi ke hutan sebegini?

Memasuki bilik beramai-ramai, kelihatan semua The Wannababes tertidur lena, berdengkur halus dan diselimuti duvet merah jambu senada warna yang terlihat diperbuat daripada material velvet yang sungguh halus. Sekali imbas, tentu tidak sangka The Wannababes sedang tidur di sebuah dewan raya. Lengkap segala-galanya!

“Mereka tidur. Biarkan sahaja.” Cikgu Fauzi berbisik sebelum berpaling menghadap pelajar-pelajar lain. “Baiklah. Kita makan dahulu. Pastikan kamu semua tinggalkan tujuh bungkusan nasi untuk The Wannababes.”

Bettylina mengangguk. Dia sememangnya ditugaskan menjaga kuota makanan dan minuman yang siap ditempah dengan seorang makcik pemilik kantin sekolah di Felda Sungai Boyan bernama Makcik Salehah.

Baru semua mahu bergerak, tiba-tiba Amanda Krishna terbeliak biji mata! Terketar-ketar dia menunjuk ke arah sesuatu. Bagaikan nampak hantu! Wajahnya pucat tergigil-gigil, namun Amanda Krishna bersuara juga. Mahukan kepastian yang jitu. “Apa itu? Apa itu???”

Kini semua mata mengekor jari telunjuk Amanda Krishna. Melihat sendiri apa yang diperkata. Serentak, tanpa dirancang semua membeliakkan biji mata! Pelajar perempuan sudah terpeluk-peluk ketakutan sesama mereka! Cikgu Putra dan Cikgu Fauzi sendiri menelan air liur, tidak percaya dengan apa yang dilihat oleh mereka!

“FAZURA! FAZURA PELUK BIAWAK!”

Dengan kata-kata itu, semua pelajar perempuan terjerit! Pelajar lelaki cemas mencari bahan keras yang boleh digunakan bagi memukul biawak yang menceroboh masuk ke dalam dewan.

“Fazura, cepat bangun! The Wannababes semua bangun!” Amanda Krishna sudah menjerit pada ketinggian oktaf vokal paling lantang. Kalah penyanyi opera yang membuat persembahan di Dewan Filharmonik Petronas!

Mendengar kekecohan yang melanda, The Wannababes terpisat-pisat membuka mata. Fasha bangun dengan muka masam mencuka. Sempat dia menjeling penuh kuasa gediknya. “Hei! Mahu kejutkan tidur… kejutkanlah baik-baik! Tidak perlu menjerit. Ini bukan kem tentera dan kami bukan pekak telinga!”

Masih belum menyedari betapa gentingnya situasi, Fasha kekal mempamerkan muka tidak puas hati. Sazzy turut bangun menggeliat. Sempat membetulkan rambut dan menepuk-nepuk pipinya lembut. Nana, Linda, Diana dan Shasha hampir serentak mengeluarkan badan daripada selimut.

“Fazura! Bangun! Fazura! Awak sedang peluk biawak!” Dengan kata-kata itu, semua The Wannababes melompat cemas. Menjerit tahap histeria paling maksima! Fazura yang paling akhir bangun… mungkin kerana nyenyak memeluk biawak hidup, akhirnya membuka mata. Terjaga akibat segala keriuhan suasana.

“Apa bising-bising sangat?” Dengan mata separuh tertutup, Fazura berbisik lemah. Sebaik matanya terbuka penuh, dia dapat melihat Jehan Kaya menghampirinya dengan membawa besi kerusi lipat. Ia dihayunkan tinggi-tinggi, gaya mahu memukul tepat ke arah Fazura!

“Hoi! Mengapa awak mahu pukul saya?” Fazura masih terpinga-pinga. Antara baru terjaga dan tidak memahami situasi sebenarnya, Fazura jadi bingung tidak terhingga. Mujur Maznah Hamidi cepat bertindak. Dia menarik Fazura ke belakang secara paksaan. Sekaligus melepaskan pelukan pada biawak. Sebaik Fazura menjauh, Jehan Kaya membedal biawak itu dengan kerusi. Tidak kena! Biawak itu laju menyelinap di celah-celah selimut lalu muncul semula di hujung penjuru bilik. Cuba melarikan diri. Cuba mencari jalan keluar kembali ke habitat semulajadi.

“Jehan! Cepat bunuh! Malam nanti takut binatang itu masuk lagi!” Amanda Krishna sudah menunjuk-nunjuk ke arah biawak itu.

“Hei! Jangan bunuh! Itu cicak tokek! Harganya ratusan ribu ringgit!” Melihat Jehan Kaya serius mahu menghayun besi ke arah binatang itu, Nana sudah menjerit. Dia sungguh panik melihat cicak tokek yang dijumpai mereka di sungai dan disimpan dalam beg bagasi sudah terlepas keluar. Sudah dapat dilihat semua dan tidak lagi menjadi rahsia. Kini mahu dibunuh pula? Habislah! Semua The Wannababes juga baru menyedari, itulah cicak yang ditangkap tadi. Kini mereka turut sama mencari keberanian tampil ke hadapan, menghalang cicak tokek dibunuh sekaligus melenyapkan peluang memperolehi pendapatan RM250,000 seperti yang diangan-angankan!

“Itu bukan cicak tokek! Itu biawak kabuk! Badannya hitam. Bintiknya kuning. Cicak tokek yang kita cari berbintik putih.” Wobert Wiok, pakar reptilia itu cepat-cepat menyeluk poket. Menunjukkan gambar cicak tokek yang sebenarnya.

Sebaik mengetahui cicak tokek yang disangka itu sebenarnya biawak, The Wannababes terdiam tidak mampu terkata apa. Sungguh malang nasib mereka! Sudahlah habis mengupah orang sebanyak RM100 demi menangkap biawak yang tiada nilai, beg Nana juga jadi mangsa. Paling sadis, Fazura terpeluk biawak dan nyaris membahayakan nyawa!

Biawak itu sekali lagi menyelinap keluar dengan pantas sebelum sempat Jehan Kaya memukulnya. Kali ini ia berjaya keluar ke pintu dewan. Menghilang buat selama-lama. Semua pelajar menarik nafas lega. Cikgu Fauzi dan Cikgu Putra sendiri menitik peluh di dahi kerana perlu menghadapi detik-detik cemas sekali. Cikgu Fauzi pantas mengarahkan pintu ditutup rapat setiap masa dan ketika. Malah dia turut menambah perintahnya, “Nanti cari kain buruk. Tutup bahagian bawah pintu. Saya tidak mahu malam ini ada biawak lain menyelinap masuk ke dalam dewan lagi.”

Para pelajar mengangguk dan laju bertindak seperti disuruh. Ini bagi memastikan semua selamat bermalam di dewan raya, Felda Sungai Boyan.

Hanya satu rahsia yang kekal tidak diketahui sesiapa melainkan The Wannababes sahaja. Sebenarnya biawak itu bukan menyelinap masuk. Biawak itu dibawa masuk secara sukarela oleh The Wannababes sendiri. The Wannababes yang sudah tersilap menyangka itu cicak tokek, sebenarnya hanyalah biawak kabuk! Memang The Wannababes terkena kejutan menggelikan yang tidak mungkin dilupakan seumur hidup!

BERSAMBUNG.....

0 comments:

Post a Comment