Jutawan Gedik | Siri 16

Tukar Strategi Tukar Pelan

Fasha menghempas tubuh di atas tilam empuk saiz King miliknya. Keluhan berat dilepaskan. Nafas ditarik panjang-panjang. Seluruh urat belikat rasa tersimpul. Kaki kebas dan kejang. Tangan bagaikan tidak berdaya lagi mahu diangkat. Kepalanya tergeleng sendiri mengenangkan kembali hari yang berlalu dengan penuh geram.

"Gila sungguh semua ini." Perlahan Fasha mengomel sendiri.

"Memang gila! Inilah namanya tiada kerja tetapi cari kerja!"

Fazura sendiri menjadi nasi tambah. Menokok kata-kata kecewa. Dengan gaya separuh mati, dia menekup muka.

"Kita kena terima hakikat. Kita yang menyahut cabaran membuta tuli. Akibat pertahankan ego sendiri, kita terperangkap dan tiada jalan keluar lagi!" Shasha yang berbaring disebelah, turut memandang siling terkelip-kelip. Bagaikan menahan tangisan, dia sendiri hilang kata-kata penyedap rasa yang biasanya menjadi halwa telinga.

Tiga sahabat termenung. Berbaring bersama di atas tilam yang empuk. Terngiang-ngiang perbualan dan perbincangan dengan Wobert Wiok, Cikgu Putra dan ahli-ahli Kelab Jutawan Sri Bangsar. Teringat kembali isi penting ilmu keusahawanan yang diterima. Perniagaan jenis salun kecantikan yang dilaksanakan oleh The Wannababes adalah perniagaan jenis perkhidmatan. Ianya bergantung kepada tenaga pekerja. Jadi tiada cara mahu melipat gandakan keuntungan melainkan menambah pekerja dan ruang. Dengan kapasiti terhad The Wannababes dan bibik-bibik, sekiranya membuka salun setiap hari pun, mereka hanya boleh mengumpul RM1 juta sekiranya beroperasi selama setahun.

Setahun? Huh! Lamanya! The Wannababes pasti menjadi kumpulan tercorot antara semua! Mana mungkin memenangi cabaran jutawan yang dicita-citakan.

"Kita mesti tukar pelan!" Tanpa dirancang, tiga mulut sudah mengucap idea yang sama pada detik yang bertepatan.


Bagaikan mendapat semangat dan petanda baru, Fasha, Shasha dan Fazura duduk bersila dengan sepantas kilat. Mata membulat merenung sesama sendiri. Fasha sendiri membaling  ke bawah bantal gebu yang dipeluk sedari tadi.

"Apa cara lain mahu jadi jutawan? Saya sudah tidak mahu buat perniagaan salun lagi! Bukannya glamour sangat tetapi lebih kepada urut-urut badan pelanggan. Hish! Gelinya!" Fazura geleng laju-laju sambil gedik-dedik bahu. Mahu menunjukkan rasa tidak sanggup pada tahap maksimum dan tiada tara. Fasha dan Shasha sendiri berkerut muka. Meremang seluruh bulu roma!


"Awak tahu.... tadi ada pelanggan yang berpanau penuh seluruh badan! Putih bertompok-tompok dibelakang. Katanya mahu buat rawatan coklat supaya kulitnya kembali sekata! Huh!! Jangan haraplah! Jauh panggang dari api. Jauh sungguh dari realiti. Memang tidak mungkin terjadi!" Fazura selamba mengadu dengan penuh kezaliman. Memang tiada langsung etika dalam menjaga rahsia pelanggan.


Shasha yang biasanya tidak mudah mengeji dan mencaci orang, turut tumpang sekaki. Dia menceritakan kes parah yang perlu ditangangi ketika membantu Diana di bilik rawatan rambut.


"Panau tu ok lagi. Sekurang-kurangnya pakai sahaja sarung tangan, tidaklah berjangkit kepada kita. Saya dan Diana lebih teruk! Kami menerima empat kes pelanggan yang ada kutu! Bukan setakat kutu biasa, tetapi ini kutu yang gemuk-gemuk! Kutu boleh terbang ke kepala dengan mudah. Memang menakutkan" Shasha menyeringai kengerian.


Mata Shasha sendiri terjojol bagai mahu keluar. Dia mengurut tengkuk yang geli tidak terkira. 


"Urghhh! Surely this is a sign from God! Saya tidak sanggup benarkan rumah saya dimasuki oleh remaja-remaja berpenyakit! Ada kutu, ada panau, ada penyakit kuku merekah kering... entah-entah ada yang bawa virus H1N1. Saya memang tidak sanggup dan tidak akan benarkan lagi sampai bila-bila pun!"


Dengan kata-kata itu, sudah terang lagi bersuluh. Ianya jadi petanda utama bahawa perancangan utama bahawa perancangan salun The Wannababes sudah ditutup secara rasminya. Mana mungkin The Wannababes anak-anak orang kaya yang tidak pernah tahu erti susah payah. Tidak biasa merempuh perit maung menjana wang atas usaha sendiri, tanpa bantuan ibu bapa.


Lalu kerana itu, dengan sekelip mata mereka berubah perancangan. Mereka tidak mahu berfikir bagaimana mahu memperbaiki keadaan. Bagaimana mengubah operasi menggunakan apa yang ada pada tangan. Apa yang diketahui mereka mahu mengecap kesenangan dengan cara paling mudah yang boleh dilakukan.


"Sekiranya tidak buat salun, apa kita boleh buat untuk capai RM1 juta?" Shasha kembali membincangkan isu utama yang meruncing di minda. Nampaknya sesi selingan adu mengadu sudah sampai ke penghujungnya. Kini tiba masa sama-sama memerh kepala. Cari jalan memenangi RM1 juta tanpa melalui jalan yang menyusahkan dan menggunakan tenaga,


Proses penulisan semula sedang dilakukan untuk memenuhkan setiap siri. Harap bersabar ye. Silalah jengok2 selalu :) 

0 comments:

Post a Comment