Jutawan Gedik | Siri 19

'Adik Angkat The Wannababes'

MEJA di kedai mamak kini ditinggalkan. Dengan segala macam cawan kosong yang berselerakan. The Wannababes bangun serentak dari duduk sebaik jam tepat menunjukkan  12.00 tengahari. Masing-masing melangkah ala model menuju ke arah Pak Mad yang setia menanti. Van hitam berkilat juga sudah dibuka pintunya. Menunggu tujuh puteri masuk dan kemudian sedia bergerak ke destinasi seterusnya.

"Okey! Kita ke lokasi berikutnya!" Fasha selaku ketua sudah memberikan arahan. Patuh dan setia, enam gadis lain segera masuk ke dalam van Mercedes VITO hitam milik Tan Sri Hisham. Van besar lagi mewah itu semamngnya digunakan bagi mengangkut The Wannababes pada setiap masa dan ketika.

Hakikat sebenar, ia sepatutnya kemudahan yang diberikan oleh Tan Sri Hisham kepada anak tunggal kesayangannya yang seorang. Van itu jenis mewah yang sudah diubahsuai. Tempat duduknya bukanlah biasa-biasa. Ianya dibaluti kemasan kulit berwarna emas. Dilengkapi dua biji TV LED leper yang terbaru. Bukan setakat boleh menonton DVD malah boleh melayari Internet dan bermain permainan PSP di situ. Turut dipasang, sistem bunyi yang sungguh kuat frekuensinya pada tahap yang termaju. Malah diletakkan peti ais mini yang memuatkan segala jenis minuman soda buat penumpang yang menggunakan van itu.

Itulah kemewahan melimpah ruah yang dikecapi oleh Tan Sri Hisham dan Puan Sri Zazarina. Namun, oleh kerana mereka hanya mempunyai seorang anak, maka Fasharina bertuah menerima segala kesempurnaan aspek material duniawi yang tidak pernah kurang walau sekelumit pun buat dirinya.

Hanya satu yang kurang, Fasha kurang masa yang dapat diluangkan bersama ibu bapanya. Tan Sri Hisham sibuk berbisnes. Puan Sri Zazarina asyik berpersatuan. Ini membuatkan Fasha tidak mahu bersendirian lalu sentiasa berkawan dan beriringan dengan enam sahabat baiknya. Ke masa saja mereka bersama. Secara automatik juga, van mewah itu jadi bagaikan kereta rasmi Kelab The Wannababes.

Mujur tidak disembur caat merah jambu! Nasib baiklah tidak ditampal dengan berlian gemerlapan supaya kelihatan glamor, gedik dan bergaya selalu!




Proses penulisan semula sedang dilakukan untuk memenuhkan setiap siri. Harap bersabar ye. Silalah jengok2 selalu :)

0 comments:

Post a Comment