Jutawan Gedik | Siri 20

Glamor di Stesen TV

“ALAH! Habis rancangan! Rosak pelan!” Mulut gadis manis itu mencebik-cebik tidak senang. Pada masa yang sama, Fasha membaling telefon mahalnya ke bantal.

“Kenapa Fasha? Tiba-tiba naik angin?” Linda yang duduk bersama Diana bagi menyiapkan jadual ‘Skim Cepat Derma’ sudah mengangkat muka dari buku notanya. Menyedari ketua The Wannababes sanggup membuang telefon bimbit kesayangan sebegitu, pasti ada berita buruk yang berlaku.

“Cikgu Putra telefon tadi. Katanya semua mesti berkumpul esok pagi.” Dengan ketap gigi, Fasha memberitahu arahan itu kepada semua ahli di sisi.

“Eh! Mana boleh! Esok pagi kita ada rancangan tersendiri. Esok hari Sabtu, hari yang sesuai memulakan misi meminta derma di KLCC.” Fazura paling bulat matanya menentang berita terkini.

“Kita tidak ada pilihan. Kedatangan diwajibkan.” Fasha betul-betul terduduk. Habis segala usaha selama dua jam berkumpul. Semua The Wannababes yang begitu bersemangat membina jadual juga sudah serentak mengeluh.

“Esok kena tengok kumpulan mana beraksi? Janganlah kita dipaksa mengkaji operasi kumpulan Amanda Krishna yang melatih kucing-kucing buang air besar! Ewwww… menggelikan, menjijikkan dan meloyakan!” Nana sendiri mempamerkan muka tidak puas hati. Selalunya Nanalah yang paling teruja apabila ada perjumpaan Kelab Jutawan Sri Bangsar. Dapatlah dia mencuci mata merenung wajah Cikgu Putra yang berkarisma.

“Huh! Itu tidak apa lagi. Saya takut kita disuruh mendengar taklimat tentang e-book dari kumpulan Irfan Khairiri! Urgh! Sungguh berpelajaran dan membosankan!” Sazzy juga sudah menggedikkan bahu berkali-kali tanda tidak mahu menyerah diri. Padanya perkumpulan sebegitu menyeksa telinga. Kalau boleh, dia mahu fokus kepada perancangan The Wannababes semata-mata.

Malangnya Cikgu Putra sudah awal-awal memberi syarat. Hari Sabtu mesti diluangkan bagi mempelajari asas-asas perniagaan dari kumpulan lain. Hari Sabtu perlu beri ruang dan masa melihat perkembangan kumpulan lawan yang ketuanya Wobert Wiok, Amanda Krishna, Irfan Khairiri dan Maznah Hamidi. Walaupun masing-masing berusaha mengejar status jutawan dengan cara berlainan, Cikgu Putra mahu sepanjang proses itu semua ahli mendapat manfaat yang dikongsikan. Info mesti berbahagi. Kritikan berunsur membina mesti diberi.

“Jangan risau. Esok bukan giliran Amanda Krishna atau Irfan Khairiri. Esok kumpulan cicak tokek yang beraksi.” Fasha memberitahu maklumat yang diterima sebaik habis perbualan telefon dengan Cikgu Putra. Sememangnya Cikgu Putra sentiasa menghubungi ketua setiap kumpulan bagi memberitahu masa perjumpaan.

“Hish! Asyik-asyik si Wobert Wiok yang agresif mendahului! Sudahlah tempoh hari kita disuruh masuk hutan sebab mereka. Esok entah-entah kena masuk hutan lagi, mencari cicak tokek yang menggerutu dan menggelikan itu! Saya memang tidak sanggup dan tidak mahu!” Fazura menghentak kaki tanda protes. Menyamai gaya kanak-kanak berusia enam tahun. Tetapi pada masa yang sama, dapat dilihat wajahnya pucat semacam. Pasti terkenangkan memori dirinya terpeluk biawak yang disangka cicak tokek berharga jutaan ringgit. Memang memori itu buatkan Fazura fobia dengan segala jenis cicak yang berdecak!

“Bukan! Esok kita bukan masuk hutan. Tetapi kita akan buat lawatan ke stesen TV yang terkenal. Semua ahli Kelab Jutawan diminta berkumpul depan pagar stesen TV13 tepat pukul 7.00 pagi.” Fasha memberitahu lemah kepada semua. Semangatnya bagai meresap keluar meninggalkan diri tatkala mendapat tahu Wobert Wiok melangkah maju setapak lagi. Wobert Wiok memang saingan terhebat yang mesti dihapuskan cepat!

Ketika mendengar pengumuman Fasha itu, semua The Wannababes ternganga. Semua begitu terkejut dengan perkembangan terbaru yang tidak disangka.

“Hah? Pergi TV13? Buat apa?”

“Kita semua masuk TV atau kumpulan Wobert Wiok sahaja?”

“Wah! Kita akan pergi stesen TV? Maknanya kita mesti pakai baju hebat-hebat supaya nampak glamor dan popular mengatasi semua!”

Suasana gamat sekejap. Pelbagai pertanyaan diutarakan serentak. Buatkan Fasha memicit dahi yang berkerut tidak senang. Lalu dengan kuasa ketua, tangan kanannya diangkat. Tanda meminta semua mengunci mulut dan jangan membising lagi kerana dia mahu menerangkan segalanya dengan tenang.

“Esok kita ke stesen TV13 kerana kumpulan Wobert Wiok akan ditemuramah dalam slot rancangan ‘Malaysia Hari Ini, Esok dan Selama-lamanya’. Kita diminta berkumpul bagi melihat aksi mereka.” Penerangan Fasha begitu memedihkan. Ia membawa berita bahawa kumpulan lawan lebih hebat dalam percaturan pertandingan.

“Kumpulan 3K dapat masuk TV?”

“Wobert Wiok akan ditemuramah secara langsung di hadapan berjuta penonton? Tetapi buat apa? Apa topiknya?”

Masih banyak lagi informasi yang tidak jelas di kalangan The Wannababes. Maka sekali lagi segala macam soalan diutarakan. Dan Fasha menjadi satu-satunya sumber yang boleh menjawab segala kemusykilan.

“Kumpulan 3K akan menjual cicak tokek mereka secara langsung di kaca TV. Nampaknya esok mereka akan dapat RM250,000 sekiranya ada yang berminat membeli!”

Sebaik mendapat tahu berita itu, semua The Wannababes terdiam. Mereka kini tahu hakikat yang memedihkan. Sekiranya cicak tokek dapat dijual, sememangnya kumpulan Wobert Wiok akan jadi pendahulu yang paling susah dihalang! Hati masing-masing jadi pedih dan pilu menanti hari esok yang akan menjelang!

Keesokan harinya…….

“Sekarang pukul berapa?”

“Sudah 6.30 pagi. Cepat! Cepat! Cepat! Nanti kita terlambat!”

“Ish… selalu kena pergi sekolah pun tidak seawal ini! Langit pun masih gelap tiada matahari.”

“Itu cerita pergi ke sekolah. Memanglah pukul 7.20 pagi baru dipanggil masuk ke kelas. Kali ini kita ke stesen TV. Terlambat sesaat, kita tidak dibenarkan masuk set penggambaran!”

Ya! Hari yang dinanti-nanti akhirnya menjelmakan diri. Hari Sabtu yang membawa kumpulan 3K ke puncak populariti. Hari ini mereka akan masuk TV!

Ketika mana kebanyakan warga Sekolah Sri Bangsar masih memeluk bantal busuk dan bersenang-lenang menikmati hari cuti, kumpulan 3K sudah bersiap-sedia terpacak di pintu pagar dan setia menanti. Mereka berkumpul di rumah Wobert Wiok kerana hanya ayah Wobert Wiok mempunyai kenderaan SUV yang boleh menghantar ke lokasi.

Sebaik enjin berbunyi, semua cepat-cepat masuk ke perut kenderaan dan memakai tali pinggang keledar keselamatan. Perjalanan ke Damansara akan mengambil masa 20 minit. Sebaik van SUV itu bergerak, semua ahli kumpulan 3K mengeluarkan cermin masing-masing. Baik lelaki atau perempuan, semua sibuk menatarias penampilan.

Wobert Wiok berkali-kali melihat cermin. Sekejap rambutnya disikat ke hadapan ala pelakon Korea. Merenung lama dan merasakan gaya itu tidak sesuai, rambut diubah gaya. Disikat ke belakang sebelum secuit jambul ditarik bagi menambah seri muka. Memandang keseluruhan penampilan selama tiga saat, dia menarik nafas lega kerana sudah berpuas hati dengan imejnya.

Siti Nurhalizawati pula lebih kronik. Dia membawa bersama beg sandang yang besar sekali. Apabila dikeluarkan isinya, rupanya gadis itu membawa cermin muka yang maksima saiznya! Cermin muka sebegitu hanya sesuai diletak di atas meja! Memang kalah cermin-cermin bedak padat yang dibawa oleh orang lain bagi melihat refleksi diri. Walaupun dijeling pelik oleh ahli lain, Siti Nurhalizawati selamba membetulkan tudungnya. Malah dia membawa tiga tudung berlainan yang dicuba berulangkali sepanjang perjalanan. Dia mahu memastikan dia mengenakan tudung yang paling cantik bagi membolehkan dirinya kelihatan hebat di kaca TV. Naza Riah di sebelah Siti Nurhalizawati pula sibuk menempel meminta pinjam cermin. Sungguh Naza Riah pakar bersolek kerana di dalam kenderaan yang bergerak, Naza Riah mampu menggaris celak pada matanya yang sepet!

Bagi jejaka hensem seperti Jehan Kaya pula, dia kelihatan begitu mengambil berat terhadap penampilan dirinya. Kolar baju ditegakkan berkali-kali. Duduknya dalam kenderaan juga terlihat sangat kejung dan tegak sekali. Ini bagi memastikan baju yang dipakai tidak berkedut dan bergaris langsung. Pada masa senggang kenderaan bergerak, tangannya tidak habis-habis mengoles lip balm pada rekahan bibirnya yang merah. Memang lelaki yang seorang itu juga bermekap! Itulah namanya lelaki jenis metro seksual yang kacak bergaya!

Dalam ramai-ramai, hanya Vincent Tin yang tidak begitu obses membetulkan imej diri. Dia lebih berusaha berlatih ucapan dan menjawab soalan-soalan temuramah nanti. Sesekali kelihatan tangannya terawang-awang. Pada masa yang sama, bibirnya terkumat-kamit bagai membaca mantera pemujaan. Adakala ekspresi mukanya berubah-ubah. Sekejap tersenyum sendiri. Selang sesaat, mempamerkan dahi berkerut seribu bagai meniru gaya ilmuan berfikir yang serius selalu. Kadangkala, tanpa diduga Vincent Tin ketawa penuh karisma. Hingga membuatkan semua yang lain memandang prihatin ke arahnya. Takut-takut Vincent Tin sudah terputus fius kepala pula!

Selang 20 minit, mereka sampai di hadapan pintu pagar stesen TV13. Sebaik kenderaan berhenti, sudah kelihatan ahli-ahli persatuan Kelab Jutawan Sri Bangsar yang lain menunggu penuh teruja. Malah Cikgu Putra, Cikgu Fauzi dan Cikgu Norah Danash turut berada di situ, mengiringi pelajar-pelajar yang membuat lawatan.

Sebaik keluar dari perut van, Wobert Wiok tersenyum lebar kepada semua. Wajahnya disuntik rasa bangga yang sungguh maksima. Bagaikan dia sudah menang pertandingan pula! Dengan suara kuat, dia membuat pengumuman,

“Terima kasih semua! Terima kasih kerana sudi menyokong kumpulan kami! Walaupun hanya kami berlima yang akan masuk TV, harap yang lain sudi masuk studio dan memberi semangat ya! Mana tahu ada peluang masuk TV juga! Saya yakin jurukamera video tentu mengambil shot yang memfokus kepada penonton juga.”

Kata-kata Wobert Wiok sememangnya menyakitkan hati. Lebih-lebih lagi apabila didengar oleh kumpulan The Wannababes yang sangat pantang dicabar diri. Tambah lagi, selama ini The Wannababes sentiasa jadi yang paling popular dan glamor. Patutnya mereka yang masuk TV! Bukannya Wobert Wiok dan kumpulannya!

“Sudah! Sudah! Sekarang semua kena bergerak! Nanti kita terlewat!” Arahan Cikgu Putra mematikan ruang dan peluang Wobert Wiok mahu terus berbangga-bangga. Kini semua pelajar bergelar ke studio A bagi menyaksikan penggambaran siaran secara langsung rancangan ‘Malaysia Hari Ini, Esok dan Selama-lamanya’.

Sebaik memasuki ruang set yang penuh kamera, lampu dan segala macam alatan produksi, kelihatan Tuan Ali bin Iskandar sudah mendekati. Wajahnya tersenyum senang dan menghulur tangan tanda meraikan tetamu yang datang.

“Wah! Inilah pelajar-pelajar Sekolah Sri Bangsar ya? Saya teruja mahu dengar tentang cabaran jadi jutawan muda. Saya juga tidak sabar mahu lihat cicak tokek yang hidup itu betul-betul depan mata!”

Cikgu Putra, Cikgu Fauzi dan Cikgu Norah Danash tampil ke hadapan sebaik penerbit rancangan yang berkaliber itu mendekati. Terus mereka berbual sebelum krew TV meminta lima pelajar yang akan ditemuramah masuk ke bilik persalinan. Di situ jurusolek TV13 akan menabur bedak supaya muka tidak berkilat. Perempuan-perempuan dipakaikan sedikit pemerah pipi supaya nampak berseri. Lelaki-lelaki pula disembur gel rambut supaya nampak rapi.

Ketika lima sekumpulan diarah pergi ke bilik persalinan, ketika itulah kotak hitam berisi cicak tokek ditinggalkan di atas meja set penggambaran. Dan ketika itu juga… mata tujuh The Wannababes bersinar semacam. Mereka tidak perlu berbisik atau berbincang. Mereka tidak perlu buat bulatan dan memberitahu perancangan sulit yang sudah difikirkan. Automatik tujuh kepala menghantar mesej aura pemikiran yang sama. Pemikiran mahu sabotaj kumpulan 3K dan sekaligus membuatkan Wobert Wiok yang macam bagus itu merana buat selama-lamanya!

Ya! Peluang keemasan sebegini pasti tidak akan dilepaskan. Kotak hitam itu jadi sasaran! Kini tujuh The Wannababes sudah bergerak secara berkumpulan. Ada yang mendekati kotak. Ada yang mengaburi mata-mata guru yang rancak berbual. Ada yang bertugas menjaga situasi supaya tiada pelajar lain yang nampak jenayah yang akan dilakukan sebentar lagi.

Sebaik keadaan mengizinkan dan situasi adalah selamat bagi melakukan aktiviti sabotaj, Linda mendekati kotak hitam itu. Disauk lengan memasuki kotak itu sebelum jari-jemari terasa menyentuh besi sangkar yang keras. Tanpa melihat, Linda segera meraba-raba mencari selak.

Ahah! Jarinya sudah mengena selak yang mengunci pintu sangkar itu! Tanpa membuang masa dan berlengah walau sesaat pun, selak dinaikkan. Sekaligus membuka ruang seluas-luasnya bagi membolehkan cicak tokek keluar dan menghilang.

Sebaik tugasnya selesai, Linda bergerak pantas menjauhi kotak hitam. The Wannababes juga kembali bergerak bebas seperti biasa dan tidak lagi membuat formasi pasukan mengaburi pandangan.

Ketika itu mereka semua tersenyum licik dan girang. Ya! Mereka sudah berjaya mensabotaj kumpulan 3K. Tidak sabar mahu lihat bagaimana reaksi Wobert Wiok sebaik membuka kotak hitam dan menyedari cicak tokeknya sudah hilang!

Hahahah! Ketawa jahat The Wannababes bergema serentak dalam hati masing-masing!

0 comments:

Post a Comment